Thursday 27 September 2012

Isteri Seorang RATU Bukan BABU?

Inilah ayat yang sering para wanita atau isteri share di Facebook kononnya untuk peringatan dan rujukan suami . “Isteri Seharusnya dijadikan sebagai seorang RATU dan bukan BABU yang harus buat segala kerja rumahtangga !”

Bila bercakap urusan rumahtangga, sering kali kita dengar tentang hak dan tanggungjawab yang menjadi pertikaian tanpa berkesudahan. Si Isteri menuntut suami melayaninya bak pe
rmaisuri, sementara si suami pula menjadikan ketaatan sebagai sebab untuk isteri mesti melakukan itu ini.

Saya percaya, ramai yang telah maklum bahawa terdapat banyak perbincangan mengenai hal ini di kalangan para ulama kini dan silam termasuk ulama empat mazhab yang mana sebahagian mereka menyatakan bahawa tugas-tugas isteri seperti membasuh, memasak dan mengemas bukanlah kewajipan seorang isteri, sebaliknya ia terpikul di bahu seorang suami.

Namun, terdapat sebahagian yang lain berpandangan sebaliknya iaitu pengurusan rumahtangga adalah tugas seorang isteri, tetapi ia bukan kewajipan yang difardukan, sebaliknya ia merupakan perlaksanaan tanggungjawab atas nama kasih sayang dan husnul mu’asyarah (layanan yang baik) terhadap suami.

Perbezaan pandangan sebegini bukanlah sesuatu yang pelik atau tidak baik, bahkan ia menunjukkan keluasan dan kepelbagaian yang menjadi rahmat kepada umat Islam.

Firman Allah SWT :

وَلَهُنَّمِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma’ruf. ( Surah al Baqarah ayat 228 )


Dr. Yusuf Al Qaradawi ketika membahaskan ayat ini di dalam karyanya, Fatawa Muasirah Lil Mar’ah, beliau menegaskan bahawa khidmat bakti serta layanan baik seorang isteri kepada suaminya adalah perkara ma’ruf bagi sesiapa yang menekuni ayat-ayat ALLAH SWT.

Seharusnya seorang isteri menyedari bahawa perlaksanaan tugas seperti menyapu, memasak, membasuh dan seumpamanya bukanlah perkara ma’ruf bagi lelaki, khususnya mereka telah dipertanggungjawabkan untuk bekerja mencari nafkah di luar rumah. Oleh itu, adalah adil bila isteri memainkan pula peranannya di rumah dengan melakukan kerja-kerja rumahtangga.

Hujah ini diperkuatkan lagi oleh pendapat Syed Sabiq didalam Fiqh as Sunnah :
“Asas yang diletakkan oleh Islam untuk menjayakan kerjasama di antara suami isteri serta menyusun kehidupan rumahtangga bersama adalah berdasarkan fitrah dan tabiat manusia. Lelaki lebih kuat untuk bekerja menyara keluarga, sementara isteri lebih serasi untuk mentadbir urusan rumahtangga, mendidik anak-anak serta memudahkan sebab-sebab kerehatan dan kedamaian di dalamnya. Justeru, lelaki ditaklifkan dengan sesuatu yang sesuai untuknya, manakala wanita pula dipertanggungjawabkan dengan sesuatu yang juga bertepatan dengan tabiatnya. Dengan ini, suasana rumah adalah ‘mesra urus’ dari luaran dan dalamannya.” ( Jilid 2, m.s 201 )


Demikian juga pandangan peribadi saya terhadap perkara ini. Jika ada suruhan nabi agar isteri perlu dilayan bak ratu, sudah pasti yang lebih layak menerima semua itu adalah para isteri, anakanda nabi dan sahabiyyat yang menjadi isteri kepada lelaki-lelaki terbaik di era Baginda. Akan tetapi jelas termaktub dalam untaian sejarah, para wanita solehah ini tetap melakukan kerja-kerja rumah sehingga suatu saat Fatimah r.a. datang mengadukan kesukarannya lalu Nabi SAW memujuk Fatimah dengan mengajarkan zikir penguat jiwa.

Imam Ibnul Qayyim menukilkan :
“Semulia-mulia wanita di dunia, iaitu Fatimah r.a. sendiri memberikan khidmat bakti kepada suaminya – Ali bin Abi Talib – sehingga suatu ketika dia mengadukan kepayahannya kepada Rasulullah SAW.


Andai suami sudah bermandi peluh dan keringat, atau memerah minda dan jasadnya untuk mencari nafkah keluarga, apa salahnya isteri membantu menyelesaikan kerja-kerja rumahtangga. Ia bukan sekadar untuk meringankan beban suami, tetapi demi cinta isteri yang mahukan kedamaian dan ketenangan di rumah bagi menjadikan suami lebih bertenaga untuk bergelanggang buat ummah. Selain mendapatkan rasa cinta dan keredhaan daripada suami.

Seperti Hadis Rasulullah: "Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redha kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."

Para wanita akhir zaman ini seharusnya memberikan dan memainkan peranan sebagai isteri yang baik kepada suami mereka.

Wanita seharusnya menjadi penolong atau sayap kanan buat suami. Isteri mengisi kekurangan, mengganti atau mewakili tugas suami bila diperlukan. Isteri adalah hak dan ‘harta’ bernilai milik suami. Kepadanya ditumpahkan sepenuh cinta dan percaya dalam menjaga rahsia rumahtangga.

Isteri mempunyai kebijaksanaan untuk mengatur rumahtangga melalui sifat rajin dan berfikir kreatif. Isteri yang solehah tahu bila dia membuka mulutnya, ia berlaku dengan hikmah, iaitu tahu waktu harus berkata-kata sesuai dengan tempat dan situasi. Saat bila pujian harus diberikan serta ketika mana pula muhasabah dan pandangan kepada suami dibicarakan.

Isteri yang solehah akan berusaha menjaga penampilan diri agar tampil menawan di mata suami yang dikasihi. Seorang isteri yang melalaikan diri sukar untuk menjadi penolong yang baik.

Kerana itu, isteri yang bijak akan berusaha membangun rumahtangga, tetapi isteri yang jahil akan meruntuhkan dengan tangannya.

Gelar penolong ini diberikan oleh ALLAH SWT sendiri sebagaimana firman-NYA :

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَبِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَالزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُإِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ


Maksudnya: "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang,menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." ( surah at Taubah ayat 71 )


Taatlah suami mu wahai isteri. Inilah perkara yang paling mudah disebut namun paling sukar dilakukan oleh seorang isteri. Istilah tunduk dan hormat ini, mungkin merupakan istilah yang agak menjengkelkan bagi isteri yang dominan terhadap suami, terutamanya bagi isteri yang lebih kaya, berasal dari keturunan yang mulia dan ternama, bekerjaya dengan jawatan yang lebih tinggi dan seumpamanya.

Namun agar keluarga menjadi bahagia, prinsip-prinsip keluarga yang diredai perlu ditaati. Kehancuran keluarga hari ini, kemungkinan besarnya adalah kerana prinsip tersebut diabaikan atau dipandang sebelah mata. ALLAH SWT dan Rasulullah SAW telah memberikan panduan bagaimana seorang isteri memperlakukan seorang suami, iaitu tunduk, taat dan hormat sebagai jalan ketaatan kepada Ar Rahman.

Firman ALLAH SWT :

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُبَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُقَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّهُ وَاللاَّتِي تَخَافُونَنُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّفَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلاَ تَبْغُواْ عَلَيْهِنَّ سَبِيلاً إِنَّ اللّهَ كَانَعَلِيًّا كَبِيرً


Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana ALLAH telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (lelaki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang solehah, ialah yang taat kepada ALLAH lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana ALLAH telah memelihara (mereka).Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar.”(Surah an Nisa’ ayat34 )


Ketaatan kepada suami itu pula diikat sepenuhnya dengan keharusan syari’at, selagi ia bukan maksiat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Tiada ketaatan kepada makhluk pada menderhakai ALLAH 'Azzawajalla." (Riwayat Ahmad)


Kasihi suami mu dengan ikhlas dan redha wahai isteri. Jalan kebahagiaan sesebuah perkahwinan di dunia ini, seterusnya berkesinambungan di akhirat nanti, terangkum dalam dua patah kata yang sederhana tetapi amat bermakna : iaitu reda dan ikhlas. Inilah yangmenjadi asas para sahabiyyat tetap menguli tepung, mengangkat air dan membersihkan kediaman dengan tangan mereka sendiri walau tubuh dihambat lelah dan penat yang amat.

Asma’binti Abu Bakar pernah berkisah :“Ketika aku menikahi Zubair, dia belum punmempunyai rumah, juga tidak mempunyai hamba. Dia tidak memiliki apa-apa di mukabumi ini selain kudanya. Akulah yang biasanya menggembala kudanya, memberinyamakan, dan merawatnya. Selain itu aku juga yang menggiling kurma, menggembalaunta, memberinya minum, dan membuat roti. Sebenarnya aku tidak begitu pandai membuatroti, jadi jiran tetanggaku di kalangan orang Ansarlah biasanya membuatkan rotiuntukku. Mereka adalah wanita-wanita yang ramah." ( al Mar’atu fiat Tasawwuri al Islami, Abdul al Muta’ali, m.s 113 )
Muslimah solehah ini antara barisan sahabiyyat yang memahami erti reda dan ikhlas. Apa yang dilakukan bukan menuntut dibalas, tetapi sebagai penyerahan diri yang tuntas kepada ALLAH SWT.

Redhalah dengan apa yang suami lakukan supaya rumah tangga bahagia. Seorang isteri tidak disoal apa yang suami lakukan samada tentang keadilan, tanggungjawab atau apa saja selagi bukan kita yang menjadi punca. Usah pertikaikan apa suami buat, adil atau tidak, mampu atau tidak, tetapi pertikaikan apakah cukup bakti aku kepada suami aku untuk aku layak ke syurga atau mendapat keredhaan suami.

Alangkah bagus, jika seorang isteri mati dalam redha suami, kerana dengan redha suami maka Allah juga redha ke atas dirinya.


BUKAN BABU, BUKAN JUGA RATU

Buat akhirnya, kesimpulan saya, tidak perlu meng 'highlight' kan istilah RATU pada memberi layanan buat isteri, apatah lagi istilah BABU pada menggambarkan kerja-kerja seorang isteri dalam rumahtangga.

Bimbang jika wanita hanya mengambil yang 'manis' sahaja dari kenyataan para ilmuwan agama yang sesuai dengan kehendak dirinya tanpa pernah memuhasabah diri tentang peranan menjadi hamba ALLAH yang terbaik di muka bumi ini. Kalau menjadi isteri itu bagai ratu, maka perlukah seorang ibu mendidik anak perempuannya bak puteri raja?

Kesenangan itu di 'sana' nanti, di mana isteri solehah menjadi permaisuri bidadari, manakala suami yang soleh menjadi raja yang dilayani sepenuh hati. Di dunia ini, tempat kita menuai budi, menabur bakti. InsyaALLAH, sekecil zarah pasti berbalas kebaikan di sisi ILAHI. Nantikan sahaja balasan Allah diakhirat nanti wahai para isteri.

Cukuplah dengan memahami istilah isteri ( zaujah ) iaitu pasangan kepada seorang lelaki bergelar suami dilengkapi dengan kebersamaan, terikatnya hati, saling berkerjasama dan menyintai satu sama lain dalam menghasilkan keharmonian rumahtangga.

Namun dalam suasana zaman yang sudah berubah, di mana wanita bekerja membantu suami menjana ekonomi keluarga, maka sinergi antara keduanya dalam melaksanakan tanggungjawab rumahtangga amat diperlukan.

Wahai para suami yang dikasihi, Wanita itu diumpamakan seperti tulang rusuk, maka ‘melentur’nya memerlukan kehatian-hatian dari seorang suami yang adil lagi bijaksana.

Tidaklah menjadi kesalahan, jika ada suami yang berminat dan bersedia melakukan kerja-kerja di rumah seperti kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan menjahit pakaian sendiri, kerana Nabi juga melakukan perkara-perkara tersebut

Terbukti dalam satu riwayat daripada Al-Aswat bin Yazid katanya yang maksudnya : “Aku bertanya kepada Aisyah: “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumah? Aisyah menjawab: “Baginda sentiasa melayani isterinya yakni membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Maka apabila masuk waktu sembahyang Bagindapun keluar untuk sembahyang (ke masjid)”. (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Hadis diatas disokong lagi oleh hadis-hadis lain yang menceritakan Baginda SAW sendiri membuat kerja-kerja rumah seperti menjahit baju, mencuci pakaian, menampal kasut, memerah susu dan lain-lain.

Sebagaimana riwayat daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada seorang lelaki katanya yang maksudnya : “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab:”Baginda sendiri menjahit bajunya dan menampal kasutnya, dan Baginda juga membuat pekerjaan yang dibuat oleh kebanyakkan orang lelaki (suami) di rumah-rumah mereka”. (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam riwayat yang lain lagi yang maksudnya ; “Apa yang Nabi SAW kerjakan di rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda adalah manusia seperti manusia biasa di mana Baginda sendiri membersihkan (mencuci) pakaiannya, memerah susu kambing dan membuat kerja-kerja (yang lain) untuk dirinya sendiri”. (Hadis riwayat Ahmad).


Jesteru, wahai isteri hargailah dan carilah keredhaan suami mu. Wahai suami layan lah isteri-isterimu dengan baik. Suami adalah acuan buat isteri.

Hadis Rasulullah SAW : “Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik melayani isterinya”. (Riwayat At-Tirmizi)

Seperti Firman Allah SWT : " Mereka adalah Pakaian bagimu, dan kamu pun adalah Pakaian bagi mereka. " (Al – Baqarah 187)


 
SYAIR BUAT PARA SUAMI :

“Bukan Dari Tulang Ubun Ia Dicipta, Sebab Berbahaya Membiarkannya Disanjung Dan Dipuja,
Tidak Juga Dari Tulang Kaki. Kerana Nista Dan Cela Menjadikannya Diinjak-Injak Dan Diperbudak,
Tetapi Dari Rusuk Kiri, Dekat Dengan Hati Bagi Dicintai, Dekat Dengan Tangan Bagi Dilindungi…”

ITULAH KAMI, SEORANG ISTERI.

Yang baik dari Allah SWT, yang buruk dari saya.
~Jannah Next Top Model~

No comments:

Post a Comment