Monday 26 March 2012

Rahsia Di Sebalik Doa Kesedihan

  بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
 
Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda; “Barangsiapa yang selalu ditimpa kesedihan (kegundahan), maka hendaklah dia membaca:

"Ya Allah, sesungguhnya aku ialah hamba-Mu, dan anak abdi-Mu, dan anak amah-Mu (budak-budak pelayan), dan (berada) dalam genggaman-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, dan berlaku ke atas aku (diriku) hukum-Mu, dan adil padaku ketentuan-Mu, aku memohon kepada-Mu dengan semua nama milik-Mu, (sama ada) yang Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkannya di dalam kitab-Mu, atau yang Engkau simpan tersembunyi di alam ghaib di sisi-Mu, agar Engkau jadikanlah al-Quran sebagai penghibur hatiku, dan sebagai penawar kesedihanku serta kedukaanku."

Tidak seorang hambapun yang membaca doa tersebut melainkan Allah hilangkan kedukaannya dan diganti-Nya (kesedihan itu) dengan kegembiraan.”

(Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Hibban) 


SYARAH HADIS:
 

Rasulullah s.a.w. telah mengajar umatnya supaya berdoa dan memohon kepada Allah s.w.t. apabila mereka ditimpa oleh kesedihan. Sesuatu kesedihan lazimnya timbul setelah seseorang ditimpa suatu musibah.

Tidak seorangpun boleh mengatasi kesedihan atau kedukaan yang menimpanya secara sempurna (keseluruhan) melainkan jika dia menjalinkan hubungan dengan Zat Yang Maha Esa (Qadha dan Qadar).

Berhubung dengan Allah s.w.t. dalam keadaan merendah diri. Mengakui (i'tiraf) terhadap segala dosa yang pernah dilakukan. Di samping mengetuk pintu Allah s.w.t memohon pertolongan dengan penuh yakin bahawa hanya Dia sajalah yang berupaya menghilangkan rasa sedih dan duka yang menimpa. Tidak seorangpun selain Dia yang mampu melakukannya. Selain Dia hanyalah sekadar sebab-sebab yang Dia telah tentukan bagi hamba-hamba-Nya.

Atas sebab inilah, maka Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya membaca doa di atas jika kita ditimpa rasa gundah dan sedih yang bersangatan dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Semoga Allah s.w.t. akan gantikan kesedihan dengan kegembiraan.

Berikut ialah penjelasan hikmah atau rahsia di sebalik setiap ungkapan dalam doa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. kepada umatnya.

"Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, dan anak abdi-Mu, dan anak amah-Mu."

Ungkapan di atas mengandungi makna "Ubudiyah" iaitu penghambaan diri. Ibadah mencakupi segala yang disukai dan diredai oleh Allah s.w.t. sama ada dalam bentuk perbuatan atau ucapan, yang zahir atau yang batin. Justeru, segala yanq disuruh dan yang ditegah oleh agama berada dalam skop ibadah.

Maksud firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taghabun, ayat 11 :

Tidak ada sesuatu musibahpun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Imam Ibnu Katsir berkata dalam menafsirkan ayat di atas:

“Barangsiapa yang ditimpa suatu musibah lalu dia menyedari bahawa musibah tersebut ialah qadha dan qadar Allah s.w.t., seterusnya dia dapat sabar menghadapi ujian tersebut dan reda menerimanya, nescaya Allah s.w.t. akan memberi hidayah (petunjuk) kepada hatinya dan menggantikan apa yang luput itu dengan hidayah serta keyakinan yang benar. Malahan kadang-kadang gantian dari Allah s.w.t. itu lebih baik daripada apa yang luput.” (Tafsir al-Quran al-'Azim 4/375)

Maksud paling mennerlah dalam ungkapan itu ialah ILMU (mengetahui) bahawa yang menentukan segala-galanya adalah Allah s.w.t. Kita sebagai seorang HAMBA tidak mempunyai hak untuk menentang kehendak-Nya malahan tidak berhak untuk bertanya mengapa Allah s.w.t. berbuat sedemikian terhadap kita. Sikap kita semestinya tidak lain hanyalah sabar dan reda dengan ketentuan Allah s.w.t. tanpa bersungut dan mengeluh. Bahkan keredaan tersebut mestilah disertakan dengan RASA KASIH YANG SEMPURNA kepada ALLAH dan PENUH YAKIN bahawa apa saja yang ditakdirkan oleh Allah s.w.t. adalah lebih baik bagi kita.

Imam Ibnu Qayyim berkata:

"Hendaknya kita menyedari bahawa musibah yang menimpa kita bukanlah untuk memusnahkan kita. Sesungguhnya kehadiran musibah tersebut hanyalah untuk menguji di manakah tahap kesabaran kita. Dengan demikian itu barulah jelas apakah kita layak menjadi WALI ALLAH ataupun tidak."

Kesedihan yang menimpa seseorang sebenarnya adalah suatu pertanda baik yang membuktikan kecintaan Allah s.w.t. kepadanya. Atas sebab itu, maka para Rasul dan para Nabi ialah orang-orang yang paling banyak mendapat ujian Allah s.w.t.

Ka'ab al-Ahbar r.a. berkata:

"Tidaklah semakin mulia seorang hamba di sisi Allah s.w.t. melainkan semakin ditambah dugaan ke atasnya."

Oleh yang demikian, seorang hamba yang benar-benar ikhlas akan segera mengisytiharkan sejak awal kesedihan lagi: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu dan anak abdi-Mu dan anak amah-Mu.”


”Di dalam genggaman-Mu.”

Bermaksud, orang yang berada di dalam genggaman lazimnya tidak dapat bergerak kerana diri mereka dikuasai sepenuhnya oleh orang yang menggenggam. Dia tidak dapat bergerak kecuali jika yang menggenggam meringan atau melonggarkan genggamannya.

Jadi, lafaz di atas mengandungi makna pengakuan akan hakikat ubudiyah. Seolah-olah dia berkata: “Aku adalah hamba-Mu dan tawanan-Mu. Aku berada di bawah penguasaan-Mu. Engkau boleh berbuat sesuka hati-Mu terhadap diriku. Aku tidak punya daya dan kekuatan. Engkaulah Yang Maha Kuat dan aku makhluk yang sangat lemah. Engkau Maha Kaya dan kami sangat fakir dan sangat berhajat kepada-Mu.”

Umpama orang yang sihat memaksa saudaranya yang sakit agar makan ubat semata-mata untuk kemaslahatan dan manfaatnya. Demikianlah juga Allah s.w.t. bertindak terhadap hamba-Nya ialah semata-mata demi kebaikan hamba-Nya.

Kadangkala lenyap dari ingatan kita tentang hikmah di sebalik bencana yang menimpa. Tetapi jika perasaan kita begitu yakin bahawa diri kita ini sebenarnya berada di dalam genggaman Yang Maha Pencipta, nescaya perasaan itu akan membuatkan kita tidak lekas berputus asa, selanjutnya sedikitpun tidak akan menolak ketentuan Allah s.w.t.

Oleh itu, hadirkanlah semasa melafazkan doa di atas satu perasaan iaitu tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah s.w.t.

Imam Ibnu Hajar berkata, maksudnya:

“Tiada penyimpangan bagi hamba daripada melakukan maksiat melainkan dengan pemeliharaan Allah s.w.t., dan tiada kekuatan bagi hamba untuk mentaati perintah Allah s.w.t. melainkan dengan taufiq (izin) Allah s.w.t.”


”Ubun-ubunku di tangan-Mu.”

Ungkapan ini juga mengandungi pengiktirafan (pengakuan) akan kesempurnaan kudrat Allah s.w.t. ke atas kita iaitu dengan menerima segala kebijaksanaan Allah s.w.t. dalam semua urusan. Allah s.w.t. boleh melakukan apa saja terhadap makhluk-Nya tanpa ada sedikitpun bangkangan dan sungutan.


”Berlaku padaku hukum-Mu.”

Ungkapan ini pula menyatakan bahawa tiada ada satu kuasa pun yang boleh menghalang kehendak Allah daripada berlaku ke atas diri kita.Perasaan seumpama ini akan mendorong seseorang untuk tidak kembali kepada siapapun jika ditimpa kesusahan melainkan hanya kepada Allah s.w.t. Hal sedemikian kerana makhluk tidak memiliki diri mereka sendiri sedikitpun. Iaitu tidak mampu menolong diri sendiri dan orang lain.

Allah berfirman dalam surah Fath, maksudnya:

“Apa saja yang Allah s.w.t. anugerahkan kepada manusia dalam bentuk rahmat, maka tidak ada seorangpun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah s.w.t., maka tidak seorangpun yang sanggup untuk melepaskannya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Said Qutub menafsirkan ayat di atas: "Sekiranya gambaran dalam ayat ini benar-benar tersemat dalam hati seorang manusia, nescaya akan luruslah semua aspek kehidupannya."

Inilah akidah yang wajib dimiliki oleh setiap muslim. Gambaran akidah seperti ini telah ditanam oleh Rasulullah s.a.w. di dada para sahabat baginda. Sungguh banyak ayat-ayat al-Quran yang menekankan maksud tersebut. Baginda Rasul s.a.w. memantapkan keyakinan para sahabat dalam kehidupan seharian bahkan sejak peringkat kanak-kanak lagi.

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan kepada kita bagaimana kisah baginda Rasul s.a.w. menanamkan makna akidah di atas kepadanya. Beliau berkata: “Pada suatu hari aku berada di belakang Rasulullah s.a.w. lalu beliau bersabda kepadaku:

“Wahai anakku, sesungguhnya aku akan mengajarkan engkau beberapa kalimat iaitu peliharalah Allah nescaya Allah akan memelihara kamu. Peliharalah Allah s.w.t. nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau meminta, maka mintalah kepada Allah s.w.t. Jika engkau memohon pertolongan maka pohonkanlah pertolongan daripada Allah s.w.t. Ketahuilah bahawa umat sekiranya mereka bersepakat untuk memberi engkau sesuatu yang bermanfaat, nescaya mereka tidak akan dapat berbuat demikian melainkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. untukmu. (Demikian sebaliknya) jika mereka bersepakat untuk mencelakakan engkau dengan suatu bencana, nescaya mereka tidak akan dapat mencelakakan engkau melainkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. ke atas kamu..”


”Adil padaku ketentuan-Mu.”

Allah s.w.t. tidak pernah bersikap zalim terhadap hamba-Nya. Bahkan Dia Maha Adil dalam segala sesuatu. Bijaksana (Hikmah) dalam ketentuan-Nya dan saksama (Adil) adalah dua sifat yang sangat ketara dalam dialog antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khaidir a.s. Nabi Musa a.s. menentang keras perbuatan Nabi Khaidir a.s. merosakkan sampan nelayan miskin, membunuh anak kecil yang tidak berdosa, dan menegakkan dinding rumah yang condong. Kemudian, Nabi Khaidir a.s. menerangkan kepada Nabi Musa a.s. bahawa perbuatan itu semua dilakukan bukanlah berdasarkan kehendaknya tetapi semata-mata kerana melaksanakan arahan dari Allah s.w.t.

Jelaslah dari situ betapa keadilan Allah s.w.t. walaupun pada zahirnya kelihatan seperti tidak adil. (Sila lihat Al Kahfi ayat 79 - 82).

Sebaliknya, manusialah yang mempunyai sifat gopoh atau Isti’jaal (استعجال). Mereka selalu menghadapi Qadha Allah s.w.t. dengan rasa kesal dan tidak reda. Lebih-lebih lagi kalau yang menimpanya itu sesuatu yang pahit. Dia mengira kalau dia mendapat kesenangan itu membuktikan bahawa Allah s.w.t. reda kepadanya. Sebagaimana dia mengira bahawa Allah s.w.t. benci kepadanya jika dia mendapat bencana.

Inilah gambaran akal manusia yang sangat terbatas. Sedangkan Allah s.w.t. menafikan sekeras-kerasnya anggapan yang salah dan keliru tersebut di dalam firman-Nya:

"Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberikan-Nya kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku. Sekali-kali tidak (demikian).” (Surah al-Fajr: 15-17)

Anggapan manusia kepada kedua-dua keadaan di atas adalah keliru dan salah. Sebenarnya, kelapangan atau kesempitan rezeki ialah ujian Allah s.w.t. terhadap hamba-Nya. Apakah mereka akan bersyukur atau kufur nikmat, apakah boleh sabar menghadapi cubaan atau panik. Kelak, balasan yang akan diterima ialah sesuai dengan sikapnya terhadap ujian-ujian tersebut. Balasan bukan terletak pada apa yang diperolehi seseorang di dunia ini sama ada senang atau susah.

”Aku memohon dengan semua nama milik-Mu, yang Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan di dalam kitab-Mu atau yang Engkau simpan tersembunyi di alam ghaib di sisi-Mu.”

Di sini kita diajar oleh Rasulullah s.a.w. agar bertawassul dengan semua nama dan sifat Allah s..w.t. sebelum kita memohon apa yang kita hajati. Malahan didahului juga dengan amal soleh lain seperti puji-pujian, sanjungan, kerendahan diri, pengakuan, dan penyerahan diri kepada Allah s.w.t.

Setelah itu, barulah kita memohon agar Allah hilangkan daripada kita rasa sedih dan gundah sambil berdoa:

”Kiranya Engkau jadikanlah al-Quran sebagai penghibur hatiku dan penawar rasa sedih dan gundahku.”

Selepas itu, apabila rasa sedih dan gundah telah lenyap maka akan menjelmalah kegembiraan dan ketenangan jiwa.

Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w. menjanjikan:

”Tidaklah seorang hamba membaca doa tersebut melainkan akan Allah s.w.t. hilangkan rasa sedihnya dan akan menggantikannya dengan kegembiraan.”

-والله تعالى أعلى وأعلم-
 
Penulis : Mohd Saipuddin bin Mat Yunus
p/s: Artikel di atas telah disusun kembali oleh Prof AL.
Sumber : http://musafirperjuangan85.blogspot.com

No comments:

Post a Comment